Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Januari 2005

JAULAH TEMASIK

Kias suluk Parameswara
Juak hulubalangnya
Kembara kerabat perantau
Mengukir catatan lampau
Membuka lembaran sirah
Bermulanya sebuah tarikh
Kutafakuri tika jaulah Temasik
 

Malangnya Pandirisme memusnahnya
Budaya bebalisme membunuhnya
Anti-intelektualisme menghakisnya
Angan-angan Mat Jenin menerjahnya
Tandus fikrah mensepak-terajangnya
Bercerai-berai pula pantas menjentayuinya
Dan hasad khianat menganjing-kucing-kurapkannya
 

Singapura oh Singapura…
Singa Asia yang terus mengaum garang
Malah sudah tersohor di seantero pelusuk
Namun bila terimbau sejarah Temasik
Lalu kutaksir ‘bumi Lee Kuan Yew’ kini
Pilu sedih mendesak mendesah dada
Lantaran dibelasah dek satira aksara kisahnya
 
Singapura vs Temasik
Bak sebuah unggun di tepi danau
Umpama si jelita berkebaya bersalin Cheongsam
Laksana naga yang bercanda bergelek tarian singa
Meski dulunya milik Me-layu yang berkompang bergambus
 
Singapura…
Maafkan aku atas madah kinayahku ini
Namun inilah luahan rasa hatiku
Selaku pelancong enggan di bumimu
Kerana di retina mata dan serebrum jemalaku
Segala skrip layar ceriteramu
Mengingatkan aku pada Sepanyol dan keagungan Andalusia
Malah menyirap darahku pada senandung kisah duka
Bumi Palestin yang diganyang semahu-mahunya si Zionis Israel laknatullah
 

Buatmu Temasik pula…
Aku tidak ingin pulang sebagai si Tenggang
Atau berbiras dengan si Luncai yang terjun dengan labu-labunya
Maka… Agar episod sejarah tidak berulang
Dan terus menjadi tuan di tanahair sendiri
Kuperingatkan diri dan seluruh warga ‘Harimau Malaya’
Ayuh bina jatidiri dengan acuan kendiri
Kukuhkan ukhuwwah lupakan sengketa
Berpaksi wehdatul fikr dan sirat al-mustaqim
Serta menggigit-menggenggam dengan gigi geraham
Dasar Al-Qur’an dan Sunnah Junjungan Mulia
 
Singapura…
Terima kasih atas iktibarmu
Temasik…
Dukamu dukaku jua!
 
(Kata seorang teman: Temasik.. Iktibar dari kisahnya.. Hanya buat jiwa yang tahu menghargai sejarah.. Gemerlap sejarah takkan memesongkan hati kita jiwa kita..) 

MUHTAR SUHAILI
248, Yishun Avenue 9, Singapura
10 Zulhijjah 1425H, 9.34am.

Read Full Post »

STRATA SUKMA…

Strata sukma…
Bertatih mencari makna
Terus meningkat meniti cahaya
Di dalam hidup menjadi bintang dan pelita
 
Strata sukma…
Mendamba ‘syurga’ membawa ke Syurga.
 
MUHTAR SUHAILI
Masjid An-Nur, Singapura
20 Januari 2005, 4.17pm. 

Read Full Post »