Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mei 2005

Jahanam..
Perseteruanmu kian memuncak
Permusuhanmu terus kau serlahkan
Kebencianmu meluap-luap terus menyala
Tergamak Al-Qur’an kau campak ke lubang najis
Sanggup kalam Tuhanku kau perhinakan!
 
Laknatullah..
Si pemimpin diktator semakin bangsat
Keangkuhanmu telah kau zahir nyatakan
Kau berlagak bak polis dunia
Kebiadabanmu seantero alam sudah tahu
Keserakahanmu kini bukan lagi satu rahsia
 
Khianat..
Konon perjuanganmu memerangi pengganas
Demi keamanan dan keluhuran demokrasi katamu
Tapi Palestin, Afghanistan dan Iraq jadi saksi
Bahawa kaulah Pengganas No. 1
Kaulah rejim pemusnah kedamaian dan keadilan
Malah mungkin kaulah ‘dajjal’ dan ‘syaitan berwajah manusia’!
 
Wahai umatku..
Baculkah kita?
Dayuskah kita?
Memang pengecutkah kita?
Atau memang jubun sudah sebati di jiwa?
 
Wahai umara’ negara umatku..
Di mana izzahmu?
Di mana karismamu?
Memang retorik sudah jadi tradisikah?
Atau memang kau tali barut si kafir harbi?
 
Wahai ulama’ agama umatku..
Di mana ilmu dan fikirmu?
Di mana dakwahmu?
Memang mahu jadi ulama’ su’kah?
Atau memang kau redha dengan dakyah musuh Tuhanmu?
 
Ingat umatku..
Akan firman Tuhan As-Samad
DimaktubkanNya di dalam kitabNya
“In yansurkumulLaha fa la ghaaliba lakum, wa in yahzulkum fa manzal lazi yansurukum min ba’dih”
“Sekiranya Allah membantu kamu maka tiada siapa dapat mengalahkan kamu, dan sekiranya dia membiarkan kamu maka siapakah lagi yang dapat membantu kamu selepas itu”
Jua: “In tansurulLaha yansurkum”
“Sekiranya kamu membantu (agama) Allah, maka Dia akan membantu kamu!”
Dan.. “Lakum deenukum wa liyadeen”
“Untukmu agamamu dan untukku agamaku”
 
Ingat umara’ negara umatku..
Akan firman Tuhan Maha Jabbar
“Wa lan tardhaa ‘ankal Yahudu wa lan Nasara hatta tattabi’a millatahum”
“Tidak akan redha terhadapmu orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikuti jejak langkah mereka”
Jua akan sabda Ar-Rasul Penghulu Anbiya’
“Kullukum raa’in wa kullukum mas’ulun ‘an ra’iyyatih”
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas kepimpinannya”!
 
Ingat ulama’ agama umatku..
Akan kalam Tuhan Maha Qahhar
Atas segala ilmu Tuhan Maha ‘Alimun Hakim
Yang aku rasa tidak perlu kuajarkan padamu
Kerana kaulah pewaris para Nabi!
 
Buatmu si kafir harbi..
Buatmu musuhku dan musuh Tuhanku
Kuperingatkanmu akan ayat Tuhanku
Semoga dirimu insaf sebelum dihumban ke Neraka Jahannam
Firman Tuhanku khusus buatmu:
“Fabassyirhum bi ‘azabin alim”
“Berilah khabar gembira kepada mereka dengan ‘azab yang pedih”
Atau memang mungkin kau sudah seperti firman Tuhanku:
“Sawaa’un ‘alaihim a’anzartahum amlan tunzirhum la yu’minun”
“Sama sahaja bagi mereka sama ada kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak akan beriman”!
 
Justeru.. Umatku..
(Khususnya diriku yang sering lupa)
Bangunkanlah semangat jihad dalam dirimu
Umara’ negara umatku..
Pimpinlah umat ini dalam saff barisan perjuangan
Dan ulama’ agamaku..
Gilakanlah fikiran umat ini dengan kesedaran Islam!
 
MUHTAR SUHAILI
Sg. Choh, Rawang
27 Mei 2005, 9.47am.

Read Full Post »

Puisi-puisiku..
Ungkapan kata-kata nyaliku
Untaian tari ilham penaku
 

Puisi-puisiku..
Tidak sepuitis jiwaku
Tidak semurni sukmaku
Tidak sesuci nuraniku
Tidak setulus hatiku
 

Namun puisi-puisiku..
Adalah sentuhan rasa jiwaku
Bait-bait luahan sukmaku
Lirikan bicara nuraniku
Bisikan ma’nawi hatiku
 

Semoga puisi-puisiku..
Menjadi tasbih jiwaku
Menjadi penawar sukmaku
Menjadi pengubat nuraniku
Menjadi zikir hatiku
Menjadi pedoman hidup dunia Akhiratku
Dan menjadi tasbih, penawar, pengubat dan zikir
Serta pedoman hidup dunia Akhirat buat insan lain jua.
 

MUHTAR SUHAILI
Bandar Sg. Buaya, Rawang
24 Mei 2005, 1.07pm.

Read Full Post »

Hidup ini..
Satu perjuangan
Satu pengorbanan
Satu pelayaran
Satu pengembaraan
Satu kepastian
 

Satu perjuangan..
Impian syahid pada sabilNya
Satu pengorbanan..
Mencari najah dalam mehnahNya
Satu pelayaran..
Moga berlabuh di dermaga cintaNya
Satu pengembaraan..
Merantau berkelana menuju AkhiratNya
Satu kepastian..
Kemestian yang terlalu pasti dariNya
 
Maka..
Dalam perjalanan haluan hidup ini
Berjuanglah agar beroleh musyahadah
Berkorbanlah selaku sang mujahid
Belayarlah biar jadi nakhoda umara’
Mengembaralah sampai jadi ulama’ muslih
Dan carilah kepastian..
Memburu pesona cinta Ilahi
Kerana istiadat hidup ini
Bukan sekadar Que Sera, Sera!
 
MUHTAR SUHAILI
Meru, Klang
17 Mei 2005, 3.04pm.

Read Full Post »

KEJALANGAN!

Jalang..
Mungkin kata ini keji
Mungkin frasa ini jijik
Mungkin definisinya juga menghinakan
 

Tetapi sedarkah kita
Betapa ramai di kalangan kita sebenarnya jalang
Bukan jalang sebenar tetapi kejalangan hati
Wanita jalang meski tidak bergelar “perempuan jalang”
Lelaki jalang tanpa nama samaran “jantan jalang”
Kerana jalangnya kejalangan “sirr”
Ya’ni kejalangan yang bertapuk sembunyi
 

Syirik itu kejalangan terbesar
Kemunafiqan itu kejalangan yang terlalu pasti
Hubbud dunya dan takut mati sebahagian punca kejalangan
Malah.. Hasad, khianat, benci melulu, tahawwur, jubun, takabbur, sum’ah, su’udz-dzan, ujub, riya’
Dan senaraikan saja segala penyakit-penyakit hati yang lain
Semuanya ini kejalangan dalam kejalangan diri!
 

Walhasil..
Kalau benarpun dirimu ingin menjadi jalang
Tuntunlah ia agar jalangmu “Kejalangan Terpimpin”!
 

MUHTAR SUHAILI
PEPS-JV, Batang  Kali
05-05-05, 11.26am.

Read Full Post »

Mencari cinta Ilahi
Tidak semudah mencari cinta insani…
 
C.I.N.T.A…
Cinta itu Cita-cita
cInta itu sebuah Impian
ciNta itu didasari kukuh oleh Nawaitu
cinTa itu pasti ada kerana ia Tabii
Malah cintA itu suci murni dari Azali hingga Abadi
 
Cinta insani…
Ada getar rasa di hatimu
Bisa menggegarkan jiwa sukma
Siang teringat, malam terbayang
Rasa rindu dendam mendesah dada tiada keruan
Kalau tidak percaya..
Tanyalah pada siapa yang pernah jatuh cinta
 
Tetapi ketahuilah wahai insani
Cinta Ilahi..
Pasti getar rasa di hatimu
Lebih menggegarkan jiwa rasa
Bisa meng’gila’kan sanubari insani
Kalau tidak percaya..
Tanyalah pada siapa yang telah men’sanding’kan nafi dan ithbat
Betapa sesungguhnya La ilaha illalLah!
 
Cinta insani..
Kecantikan dan ketampanan dipuji dipuja
Kancah krisis dan nista ‘pura-pura’ dilupa
Terasa manis kehidupan dikhatkan bak xilografi
Semua nampak indah
Segalanya rasa bahagia
 
Tetapi ketahuilah wahai insani
Cinta Ilahi..
Andai ianya telah jadi pegangan
Menyebabkan mahsyuk penuh syahdu
Jiwa raga meruntun-meronta dalam nikmat
Semua pasti indah
Segalanya tuntas bahagia!
 
Cinta insani..
Alhamdulillah andai cinta ini membawa cinta Ilahi
Cinta duniawi yang membawa hasanah ukhrawi
Namun kadangnya ia goyah dan tiada abadi
Hingga menuntun ke arah kejalangan tiada terperi
Lebih malang andai menyesatkan menderhakai Ilahi
 
Tetapi ketahuilah wahai insani
Cinta Ilahi..
Rahsia demi rahsia langit pasti tersingkap
Sayup terasa udarakasa iman syaksiah hamba
Lantas warid pada sabil Sunnah Junjungan
Jua tiada terlembur pada faharasat Kitab ‘Amalan
Hingga akhirnya menyemarak naungan Syurgawi.
 
Cinta insani..
Kita pernah mendengar:
“30 hari mencari cinta”
Tetapi ketahuilah wahai insani
Cinta Ilahi..
Yang ada di mana-mana di sanubarimu
Menuntut seusia hayatmu dalam mencariNya
 
Justeru..
Wahai insani dan diriku sendiri
Kata-kata tidak diperlukan untuk mendengar suara hati
Maka berkorbanlah segalanya demi cinta ini
Agar tiada penyesalan di Akhirat sana!
 
MUHTAR SUHAILI
Serendah, Rawang
3 Mei 2005, 4.07pm.

Read Full Post »