Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Tentang Jiwarasa’ Category

Khabar gembira dari laut
Kala tugas di pelantar bertaut
Saat minyak di dasarnya dikaut
Tika kehendak industri kian diturut
Mencurah bakti duniawi sebelum maut

Khabar gembira dari laut
Rezeki dari Allah disyukuri amat
Kerana redhaNya ditabur khidmat 
Demi kesinambungan kehidupan umat
Semoga kita bersyukur atas segala nikmat

Khabar gembira dari laut
Saujana membiru airnya kelihatan
Ikan-ikan berenang ria sekawanan
Mentari menyinar terang menawan
Menghiasi dada bumi sungguh mendamaikan

Dan…
Khabar paling gembira dari laut
Aku melihat DIA dalam keindahan!

MUHTAR SUHAILI
Pelantar KNDP-A, Sabah
26 April 2007, 5.19pm.

Advertisements

Read Full Post »

Rencam rasa-rasa
Yang hadir dalam jiwa
Lumrah tiap manusia
Yang hidup di dunia fana
Menanti hari kembali ke sana
 
Rasa resah gelisah
Duka dan marah
Batin pasrah tersiksa
Bukankah rasa-rasa ini buat hati parah?
 
Rasa riang gembira
Suka dan ceria
Sukma nan sakinah
Bukankah rasa-rasa ini buat hati bahagia?
 
Saat resah gelisah
Lonjakkanlah jiwa
Riang gembiralah!
 
Tika duka dan marah
Kuatkanlah jiwa
Suka dan cerialah!
 
Bila batin pasrah tersiksa
Ingatlah Allah Maha Kuasa
Agar sukma rasa sakinah!
 
Hati parah dalam derita
Ada rasa mahu mengubahnya?
Ada rasa mahu hatimu bahagia?
 
Riang gembiralah!
Suka dan cerialah!
Dan ingatlah Allah Maha Kuasa sentiasa!
 
MUHTAR SUHAILI
Canal Grande, Venice
17 Februari 2007, 2.02pm.

Read Full Post »

(Puisi ini ana tujukan khas buat aku..)
 
Mengapa mesti kau ‘ujub
Riya’ bangga meraja di jiwa
Merasa gah disanjung manusia
Teruja dengan kebolehan dirimu
Terpana dengan pencapaian duniawi
Seolah-olah kaulah hambaNya yang terhebat!
 
Mengapa mesti kau ‘ujub
Andai ibadahmu masih kurang sempurna
Andai maksiatmu masih terus kau laksana
Andai keinsafanmu tidak seserius mana
Andai dosamu masih menimbun sama
Dan andai taubatmu hanyalah pura-pura!
 
Mengapa mesti kau ‘ujub
Sedang wajarnya kau syukuri wujudmu
Disertai doa munajat di dalam sujudmu
Semoga ia bukan istidraj tetapi nikmat
Nikmat Ilahi buatmu atas anugerah taat
Sebuah kejayaan yang beroleh berkat!
 
Mengapa mesti kau ‘ujub
Bukankah hatimu bencikan neraka?
Bukankah hatimu merindukan syurga?
Kalau benar itu impianmu
Maka ketahuilah olehmu..
‘Ujub tiada di dalam hati perindu!
 
MUHTAR SUHAILI
Shell iCentre, Rijswijk
5 Februari 2007, 10.15am.

Read Full Post »

MAJU MENUJU CITA

Majulah…
Majulah duniaku..
Majulah Akhiratku..
Majulah dunia dan Akhiratku!

MUHTAR SUHAILI
Gare Du Nord, Paris
8 Oktober 2006, 10.00am.

Read Full Post »

LUAHAN PERANTAU

Aku anak rantau di sini
Jauh dari batas tanahair
Rindu menggamit rasa sanubari
Pada pesona cinta kasih
Insan-insan istimewa di hati
 
Aku musafir di sini
Alhamdulillah nuraniku damai
Semarak Ramadhan indah sekali
Aku temui ramai Muslimin sejati
Yang amat taat akan suruhan Ilahi
Di tengah kota kehancuran nilai
Di negara Eropah yang susut budi
 
Aku teruskan kelana di sini
Mencari erti hakikat keluhuran maknawi
Memerhati keinsanan yang sukar ditafsir
 
Di sini kutemui..
Kehidupan manusia penuh seribu teka-teki
Hanyut dengan tipuan dunianya sendiri
Hanyut dari kesantunan maknawi
Hidup yang bebas dari intuisi hakiki
 
Sungguh..
Kesucian maruah sukar kutemui di sini
Rasa malu sudah mati di sana-sini
Yang ada hanyalah hidup tanpa erti
Yang ada hanyalah kemajuan tanpa isi!
 
Aku kembara lagi di sini
Lalu terdetik di sudut hati
Kenapa manusia masih menyetan lagi!
Mengapa kedurjanaan masih meraja di sini!
 
Dan aku di sini..
Masih menanti jawapan murni
Pada siri persoalan sangsi
Sampai bila harus begini?
Haruskah terus mendiamkan diri?
Mana dia sentuhan suci para daei?
 
Akhirnya aku perlu akui
Akan kelemahan ikhtiar diri..
Akan kurangnya usaha dakwah ummah ini!!
 
Aku hanya musafir di sini
Yang ingin menjadi Muslim sejati
Satu cita yang berirama pasti
Mengalun di sukma penuh harmoni
Mengharap redha Ilahi Rabbi
Menggapai cinta kasih abadi
Mengharap najah dunia Ukhrawi!
 
MUHTAR SUHAILI
Masjid Al-Muhsinin, Amsterdam
30 September 2006, 7.55pm.

Read Full Post »

Inilah kehidupan..
Manifestasi dari sebuah kelahiran
Yang menuntut janji penyaksian
Bahawa Allah Azza wa Jalla sebagai Tuhan
Ilah dan Rabb tiada tandingan
 
Inilah kehidupan..
Animasi sebuah pentas drama
Lakonan hebat barisan ‘hero’ dan ‘heroin’
Dengan diri sebagai bintang dan pelakon utamanya
Bersutradarakan hati dan aqal pancaindera
 
Inilah kehidupan..
Simulasi sebuah teater kemanusiaan
Diiringi alunan muzik pengharapan
Sesekali diselingi serunai syahdu pengaduan
Pada maghfirah dan rindu kebahagiaan
 
Inilah kehidupan..
Aspirasi sebuah filem cinta dan nafsu
Berjurikan catatan Kiraman Katibin
Waktu tayangannya di pawagam Mahsyar
Pada hari pertontonan yang maha dahsyat
 
Sesudah kehidupan..
Kematian pasti menjemput tiba
Adakah filem kita akan menjadi ‘box office’?
Akan mendapat sambutankah pementasan teater kita?
Dan akan diterimakah skrip drama kita olehNya?
 
Justeru beringatlah..
Jadilah ‘actor’ dan ‘actress’ terbaik
Yang akan meraih ‘award’ Ashabul Yamin
Dijulang sebagai Al-Muqarrabin di layar Akhirat
Dan beroleh anugerah redha dan syurga Allah!
 
MUHTAR SUHAILI
Rawang, Selangor
30 Disember 2005, 4.40pm.

Read Full Post »

(Sempena Lawatan DYMM Sultan Selangor dan Menteri Besar ke Perodua) 

Ampun Tuanku!
Menjunjung kasih Tuanku!
Itulah sebahagian Istiadat DiRaja dunia. 

Bila raja berkunjung ziarah
Persiapan hebat menyambut tiba
Hebat sambutannya
Cantik hiasan tamannya
Warna-warni ‘grand stand’ pamerannya
Sempurna segala protokolnya
Yalah.. Al-maklum dia raja
Maka perlulah dipatuh dihormati
Dan layanan VVIP segala aturcara.
 

Bila raja mencemar duli
Permaidani kuning menghampari laluan
Segala rakyat jelata datang mengadap
Penuh takzim lagi bertata susila
Tabik hormat dan perarakan ‘escort’
“Sembah patik harap diampun”
Sembah dipohon tangan dicium
Agar tuanku tiada amarah
Jua tiada bermuram durja
 

Tapi..
Kadangnya manusia mudah lupa
Malah sering buat sambil lewa
Dalam menghadap Raja segala raja
Tuhan dan Pencipta kepada segala raja!
 

Wajarnya..
Dalam mengadap Raja segala raja
Sambutan seruannya harus lebih sempurna
Protokol adab tertibnya lebih dijaga
Pakaian indah suci menyucikan sudah semestinya
Bukan selekeh atau hanya ala-kadar
Lalu Dia disembah penuh khusyu’ dan tawadhu’
Agar ibadah diterima olehNya
Supaya Dia redha dan tiada murka
Dan kita terlepas dari azab pedihNya
 

Ketahui dan perbuatlah olehmu..
Istiadat DiRaja segala raja
Merafak menyembah Allah Azza Wajalla
Lebih ‘azim dari Istiadat Diraja yang tidak punya apa-apa!
 

MUHTAR SUHAILI
Perodua PVD Office
17 Jun 2005, 12.33pm.

Read Full Post »

Older Posts »