Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mac 2005

SAHABATKU..

(Mengabadikan sebuah kehilangan,
Almarhum Amir Syukri Adam: 1979-2005)

Sahabatku..
Bila aku dikhabarkan beritamu
Kau sudah dijemput pergi menghadap Ilahi
Ada getar rasa membumbui sukmaku
Ada bayang duka menyelubungi lubuk jiwa
Lantas naluriku bertanya
Inikah pengakhiran ikatan persahabatan?
 

Sahabatku..
Pantas semalam kulihat mentari suram
Tidak seceria dan segirang selalu
Namun hari ini kulihat ia semakin suram
Mungkin turut menangisi pemergianmu
Melestarikan segala kisah suka duka
Memori kenangan indah waktu bersamamu
 

Sahabatku..
Senyuman manismu yang terukir di bibir
Itu yang terakhir kumelihat dirimu
Itulah jua hadiah paling bermakna darimu
Lewat bual bicara di pertemuan wida’
Berkongsi bahagia fikrah berjuang
Segalanya masih basah di ruang ingatan
 
Sahabatku..
Marah dan benci
Kuyaqini bukan dari resmi kesukaanmu
Sum’ah dan lagha
Kutuntasi bukan dari mahkota keinginanmu
Riya’ dan takabbur
Kupercaya bukan dari destar kegilaanmu
 
Sahabatku..
Ramah sopan itulah gambaran peribadimu
Masih terngiang bicara nostalgiamu
Katamu: “Nahnu minalLah wa raja’na ilalLah”
Kenangan bersama saat ekspedisi dakwah
Benar.. Kita perlu kaya dalam menghampiriNya
Dan harus miskin daripada menjauhiNya
 
Sahabatku..
Khatimahmu telah berlalu dan pasti
Dalam pertarungan yang tiada berpantai
Kini telah usai hari-harimu di dunia fana
Kudoakan liku-liku hidupmu kan bertemu syurga
Bermuna-muna ria bersama hurun ‘ein jelita
Menikmati pertemuan indah nan abadi di sana
 
Sahabatku..
Dalam mengabadikan sebuah kehilangan
Kau kuhargai sebagai sebahagian dalam kenanganku
Wajarnya hatiku terlebih dahulu menangis dari dua mataku
Kerana aku belum pasti akan kesudahanku
Apakah husnul khatimah bagai diimpi
Atau na’uzubillah, su’ul khatimah penghantar ke neraka
 
Sahabatku..
Akan kuteruskan perjuangan ini tanpamu di sisi
Kehidupan pasti mengucapkan tahniah buat dirimu
Semoga bersamamu insan-insan yang soleh
Menelusuri damai abadi dalam menuai janjiNya
Dan kuharap kita akan bertemu lagi
Di gerbang istana syurga menanti..
 
Amiin..
 
MUHTAR SUHAILI
Kluang, Johor
13 Mac 2005, 6.55am.

Read Full Post »

Tanpa jemu usia terus berlari
Si kelana terus mengejar tiada berhenti
Pengembaraan masih terus meniti hari
Pelita fikir pada kegelapan jaulah terus menyinari
Ruang telaah dalam perantauan penuh tirani
Menjadi azimat buat musafir mengota janji
Mengenal sebuah diri yang sebenar-benar diri
 
Dalam mencari sebenar diri
Embun hidayah muncul menyirami jiwa
Menitis dan masih terasa kesejukannya
Tetapi kesejukan itu kadangnya hanya sementara
Menyejat kala dinihari dilimpahi cahaya
Lalu gersang tandus bagai sediakala
Bila hujan nurani tiada memberi sentuhannya
 
Dalam mencari sebenar diri
Jatuh bangun dalam ghazwah silih berganti
Rindu untuk menggapai sejalur kasih Ilahi
Yang rasanya dulu pernah dirungkai
Menggilap nawaitu yang sering berkonfrontasi
Hingga terang bersinar taifah kompromi
Membiaskan konotasi ikhlas bersemayam di hati
 
Dalam mencari sebenar diri
Mengimpi segugus butiran kedamaian
Mencipta azam keinsafan dan kesedaran
Walau dirantai sejuta kemelut kehidupan
Tempuhilah jua  bersama penghayatan
Taburkanlah pengorbanan dalam perjuangan
Agar rebahmu bersama impian yang kesampaian
 
Dalam mencari sebenar diri
Istiqamahlah bersama cita-cita
Kuatkan himmah mencari setitis lautan cinta
Qanaah, sabar dan cekal tanjapkan sentiasa
Meski sering berselirat seribu tipu daya
Percayalah.. biarpun hari ini kau dalam derita
Nescaya esok kaulah insan yang bahagia
 
Dalam mencari sebenar diri
Berhentilah sejenak untuk merenungi
Melihat diri.. melihat hati.. melihat haqiqi
Sebelum mati dan pergi tidak kembali!
 
MUHTAR SUHAILI
Sri Gombak
6 Mac 2005, 5.38pm.

Read Full Post »

Inzar 1
 
Diriku..
Cari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan ubat,
Cari olehmu akan guru
Yang boleh mengenal segala seteru,
Cari olehmu akan isteri
Yang boleh menyerahkan diri,
Dan jadilah olehmu akan abdi
Yang ada baik budi.
 
Inzar 2
 
Rebah terguling kubangkit kembali
Tersungkur jatuh kupantas berdiri,
Walau sengsara membakar jiwa
Demimu Islam matiku rela,
Tidak berganjak, tidak berubah
Melimpah darah tetapku redah,
Cahaya syahid penenang jiwa
Itulah nilai paling berharga,
Moga matiku husnul khatimah
Bertemumu Tuhan di singgahsana Jannah.
 
Inzar 3
 
Mataku..
Melihatlah dengan pandangan hati
Telingaku..
Mendengarlah dengan suara hati
Lidahku..
Berkatalah dengan bicara hati
Jawarihku..
Bertindaklah dengan sentuhan hati.
 
Hatiku..
Nasihatilah mataku agar melihat dengan pandangan haqiqi
Nasihatilah telingaku untuk mendengar dengan suara nurani
Nasihatilah lidahku supaya berkata dengan bicara suci sufi
Dan nasihatilah jawarihku biar bertindak dengan sentuhan ma’nawi.
 
Ya Allah..
Pejam-pejamkan mataku agar lena dalam jagaMU
Degup-degupkan jantungku agar suaraku dalam pangkuanMU
Tartil-tartilkan zikirku agar bicaraku dalam as-SamadMU
Gegar-gegarkan ikhtiarku agar jawarihku dalam QadarMU
Serta hangus-hanguskan hatiku agar hangit dalam mencintaiMU!
 
MUHTAR SUHAILI
UIAM, 1 Mac 2005

Read Full Post »