Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Disember 2001

Berkatalah seorang lelaki gila  
Di Stesen Bas Puduraya  
“Wahai saudara-saudaraku semua…
Tahukah kamu bahawa setiap perempuan itu  
Ke mana perginya membawa dua mulut?”
 

“Ya… setiap yang bernama perempuan itu memiliki dua mulut.”
Bagai takut bagi yang tidak mengerti,
Rangkap itu diulanginya lagi.
“Mulut satu!” katanya;
“Mulut satu itu berada di atas,
Yang itu perlu dijaga
Kata tuturnya, supaya sopan dan lembut
dengan gaya seorang perempuan
Dengan akhlak seorang perempuan timur.”
 

“Tahukah saudara-saudaraku!
Di mana mulut kedua seorang perempuan itu berada?  
Di mana…” Bentaknya gaya menjiwai puisinya
Orang ramai bagai ketakutan dan berlalu dari situ
Namun masih ada juga yang berminat untuk menyaksikan gelagatnya.
 
“Saudara-saudaraku…”
Kata-katanya sambil menyelak-nyelak akhbar yang lusuh kekuningan di tangan.
Katanya;
“Berita satu!”
Seorang bayi perempuan ditinggalkan di stesen bas Klang,
Tali pusatnya masih belum jatuh.”
“Berita dua!
Seorang bayi dijumpai mati di dalam tandas awam di Ipoh.”
“Berita tiga!
Seorang bayi lelaki ditinggalkan di hadapan sebuah rumah banglo,
Mengalami beberapa kesan gigitan serangga, di Kuantan, Pahang.”
 
“Tahukah saudara-saudaraku..
Kenapa mereka membuang bayi-bayi itu?
Tahukah kenapa?
Laungannya semakin galak
Itulah bila perempuan tidak menjaga
mulut keduanya yang di bawah itu!
Maka itulah yang terjadi.”
 

Bila ada yang maklum…
Tertunduk malu dan berlalu
Tapi! Aku terpaku di situ…
Terpaku dengan puisinya.
 
“Jagalah mulut yang di bawah itu wahai perempuan,
Supaya tidak terlahir zuriat haram!
Kerana melahirkan zuriat-zuriat  haramlah
Maka perempuan-perempuan itu jadi sifat kebinatangan lebih dari binatang!
Perempuan… Apalah salah bayimu itu?”
 
“Jagalah mulutmu yang di bawah itu wahai perempuan,
Makhluk lelaki itu jangan kau percaya sangat,
Biasalah…
Sebelum dapat, janjinya menggunung.”
 
“Lihatlah bayi-bayi yang tak berdosa ini
Dicampak bagai bangkai seekor kucing
Lihatlah perempuan! Lihatlah!…
Dari itu jagalah mulut keduamu itu,
Serah saja kepada yang berhak untuk itu!”
 
“Lelaki itu memang jahanam! Jahanam! Jahanam!
Aku pun lelaki…
Aku pun pernah jadi lelaki jahanam itu.”
Raungnya dalam tangisan yang menggila
“Ha… Ha… Ha…”
Ketawanya lantang lantas berlalu.
 
Demikianlah sebuah puisi gila…
Dari seorang lelaki gila.

Advertisements

Read Full Post »