Pencarianku..
Selaku perantau ke Akhirat
Sebagai al-faqiir di kalangan mustadh’afin
Mampukah aku menjadi diri
Bergelar al-akhyar yang terpilih
Menjadi Muslih yang soleh
Atau layaknya al-Mukhtar bagai nama diberi
Segalanya bermula dari hati
Hati adalah sumber irfani
Kata ahli Sufi
Hati adalah ‘rumah Allah’
Sabda Rasul an-Nabiy
Hati adalah mudghah penentu baik buruknya jasad insani
Firman Allah Azza Wajalla
Orang yang beriman itu gementar hatinya tatkala zukiralLahu
Namun..
Menerawang di dhamir dan di minda
Mungkinkah banjir melanda di waktu kemarau
Bukankah mustahil terbakar di dalam hujan
Jua mustahil pelangi muncul di kepekatan malam?
Sesungguhnya..
Selaku orang muda sang salik
Aku sebenarnya ingin benar-benar faham
Ingin semahunya kutahqiqkan ikhlas di dalam ibadat
Agar kuberoleh musyahadah
Juga semampunya menentang musuh batin melalui zikrulLah
Agar fana’lah aku bersama-sama perhambaan kepada Pencipta diriku.
Hati yang gharib
Rindu kepada keikhlasan ber’amal dan kesyahidan
Syuhud yang membawa kepada Percintaan yang Agung
Penyaksian terhadap kebenaran dan keadilan
Kekal bersama Yang Dicintai
Serta membungkam kotor dosa akibat wahan
Dek sangkut oleh cinta dunia dan takut mati
Untuk berada dalam ‘Tiada Tuhan Melainkan Allah!’
Ya Allah..
Aku sedar siapalah diri ini
Penuh karat nifaq dan dibasahi buih zulumat
Malah mungkin sumber fitnah melata
Namun.. Ya Rabbi…
Kasihanilah hambaMu, ampunilah ciptaanMu ini
Kurniakanlah aku maqam istimewa di sisiMu
Yang memimpinku untuk tenggelam, rebah dan mabuk bersamaMu
Kerana itulah matlamat agung pengembara alam rohani!
Nukilan si pendosa;
MUHTAR SUHAILI
Kota Bharu, Kelantan
6 Februari 2005, 3.11pm.
Tinggalkan komen