Feeds:
Kiriman
Komentar

ZIONIS LAKNATULLAH

Syabas Zionis laknatullah
Kau membuktikan kepadaku
Bahawa kau memang terrorist
Terrorist bercitra imperialis
Terrorist berhati sadis
Terrorist berjiwa bengis
Terrorist pembunuh tragis
Terrorist membuat jiwa tiada berdosa menangis!
 
Syabas Zionis laknatullah
Kau mengiayakan keimananku
Bahawa firman Tuhanku Maha Benar
Kau memang bangsa yang tak tahu diuntung
Manusia bongkak takabbur lagi sombong
Namun akhirnya kau akan terusir dan terhina
Bahkan pasti binasa dan hancur punah!
 
Syabas Zionis laknatullah
Kau membuatkan aku semakin optimis
Bahawa amat benar Sabda Nabiku
Islam akan bangkit menentang fasadmu
Kiamat tertangguh sehingga kami memerangimu
Hatta pohon dan batu pun turut pasti berjuang menentangmu
Dan jihad kami akan menghancur-luluhkanmu!
 
Zionis laknatullah..
Sebenarnya aku ingin mengucapkan takziah..
Kerana kau pasti akan hancur musnah
Di tangan pasukan jihad fi sabilillah
Di tangan barisan para pencinta Allah!
 
Sekali lagi.. Takziah buatmu
Kerana kau akan kami hancurkan
Ya, kami hancurkan sehancur-hancurnya!
 
Ayuh.. Ayuh bangkit wahai umat Islam..
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Wa lillahil Hamd!
 
MUHTAR SUHAILI
LLL 2A 032, SSB Miri
10 Ogos 2006, 2.47pm.

CINTAILAH CINTA

Cintailah Cinta
Hati pencinta merindui Pencipta
Hati pencinta mengimpikan Syurga
Hati pencinta menikmati bahagia
Hati pencinta sejati pasti sejahtera
 

Tanpa Cinta
Dan natijah dari dosa-dosa
Jiwa bahagia jadi resah gelisah
Rasa sejahtera jadi keluh-kesah
Naluri maknawi hilang fitrah sakinah
 
Antara nafsu dan Cinta
Yang mana satu menetap di sukma?
Yang mana satu meraja di jiwa?
Yang mana satu menguasai rasa?
 
Antara nafsu dan Cinta
Pilihlah Cinta
Dan korbankanlah nafsu demi Cinta
Agar Cinta meraja di jiwa
 
Antara cita dan Cinta
Pilihlah keduanya
Dan perhebatkanlah cita demi Cinta
Agar Cinta menguasai rasa
 
Ayuh diri..
Berkorbanlah demi Cinta
Berjuanglah demi Cinta
Kerana Cinta adalah CINTA!
 
Dan ketahuilah..
Sesungguhnya Cinta itu Nur Hayat
Sesungguhnya CINTA itu NIKMAT!
 
MUHTAR SUHAILI
Sutera Harbour, Kota Kinabalu
1 Ogos 2006, 4.38am.

Setiap kali mereka bertemu..
Bicaranya tidak pernah tepu
Garau suaranya galak tidak menentu
Gelak tawanya jadi tradisi haru-biru
Dan hari-harinya diisi dengan lalai begitu
 
Pagi tadi mereka bertemu seperti biasa
Hari ini hangat “Miss Universe” jadi cerita
Tempoh hari Datuk K dan Siti jadi bahan berita
Semua hebat bergaya dengan sembang kosongnya
Dan juak-juaknya tersenyum simpul sama-sama mengata!
 
Oh indahnya..
Andai dalam pertemuan mereka seterusnya
Kehebatan Allah jadi topik utama
Sunnah RasulNya jadi tutur kata
Ilmu dan hikmah jadi pengisian bermakna
Permasalahan ummah jadi agenda
Dan segala luahan rasa jadi ibadah
 
Malangnya..
Setiap kali nasihat itu diberi
Hati-hati mereka sering berbisik
Hipokrit.. hipokrit.. hipokrit..
Tanpa mereka sedar..
Hipokrit itu sudah membukit
Di jiwa dan hati nurani mereka!
 
Itulah yang dilihat sehari-hari..
Apa yang ramai ialah..
Wajah-wajah dan hati yang pandai berpura-pura
Wajah-wajah dan hati yang hanya pentingkan diri sendiri sahaja
Wajah-wajah dan hati yang gilakan wang dan harta!
Wajah-wajah dan hati yang mengejar nama!
Wajah-wajah dan hati yang telah hilang keluhurannya!
 
Semoga mereka berubah..
Mudah-mudahan mereka taubat nasuha!
 
MUHTAR SUHAILI
LLL 2A 032, SSB Miri
25 Julai 2006, 11.11am.

Insan berhati mulia..
Bicaranya penguat jiwa
Senyumannya penyejuk mata
Wajah cerianya penawar sukma
Perjuangannya penajam fikrah
 
Insan berhati mulia..
Mulia hatinya
Mulia budinya
Mulia nuraninya
Mulia falsafahnya
Mulia tutur katanya
Mulia kasih sayangnya
Mulia obor semangatnya
Mulia tanggungjawab agamanya
 
Insan berhati mulia..
Penasihat ilmu dan hikmah
Segala pahit manis kehidupan
Segala suka duka pengalaman
Segala mehnah dan cabaran
Segala impian dan harapan
 
Insan berhati mulia..
Sama-sama mencari huraian
Kunci seribu jawapan
Dalam satu pengertian
Tentang erti sebuah keluhuran
Di atas persada pentas kehidupan
 
Insan berhati mulia..
Adalah orang besar yang berfikir sedar
Adalah orang besar yang berjiwa besar!
 
Insan berhati mulia..
Dialah guruku.. Murabbi termulia!
 
MUHTAR SUHAILI
22, Kpg Muhibbah, Miri
10 Jun 2006, 8.18pm.

REDHAMU YA ALLAH

Ya ALLAH..
RedhaMu yang kudamba!
 
Seandainya Engkau redha..
Meskipun kehidupan sepahit hempedu
Tetap manis terasa di qalbu
 
Seandainya Engkau redha..
Meskipun papa kedana harta tiada
Tetap kaya mewah dalam bahagia
 
Seandainya Engkau redha..
Meskipun semua manusia murka
Tetap damai bersemayam di jiwa
 
Seandainya Engkau redha..
Meskipun musuh memutih di bumi
Tetap mara megah penuh berani
 
Seandainya Engkau redha..
Meskipun alam semesta ada kebinasaan
Tetap kemakmuran merajai perasaan
 
Seandainya Engkau redha..
Meskipun badai taufan menggegar dunia
Tetap tenang arus iman mengalir di dada
 
Ya Allah..
Seandainya Engkau redha..
Dan apabila cinta padaMu benar
Maka semua permasalahan menjadi mudah
Dan setiap yang berada di atas tanah adalah tanah!
 
MUHTAR SUHAILI
Sg. Choh, Rawang
12 Mei 2006, 12.36pm.

RASULULLAH..

Muhammadur Rasulullah..
Muhammad itu Insan Al-Mukhtar
Muhammad itu Insan Al-Akhyar..
 
Dialah Rasulullah..
Kekasih ALLAH
Pemerkasa aqeedah
Pejuang Laa ilaha illALLAH
 
Dialah Rasulullah..
Pembawa hidayah
Penyebar dakwah
Panglima seluruh Jundullah
 
Dialah Rasulullah..
Pemimpin Ansarullah
Pembina mahabbah
Lil ‘alamina menjadi rahmah
 
Dialah Rasulullah..
Model mithali qudwah hasanah!
 
MUHTAR SUHAILI
Flight MH0067 Incheon-KLIA
11 April 2006, 2.03pm.

Allahu Rabbi     
Aku minta izin
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Jangan biarkan cinta untuk-Mu berkurang
Hingga membuat lalai akan adanya Engkau
 
Allahu Rabbi
Aku punya pinta
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Penuhilah hatiku dengan haibah cinta-Mu yang tiada terbatas
Biar rasaku pada-Mu tetap utuh
 
Allahu Rabbi
Izinkanlah bila suatu saat aku jatuh cinta
Kerana rasa cinta itu lumrah manusia
Pilihkan untukku seseorang yang hatinya penuh dengan kasih-Mu
Dan membuatku semakin mengagumi-Mu
 
Allahu Rabbi
Bila suatu saat aku jatuh hati
Pertemukanlah kami
Berilah kami kesempatan untuk lebih mendekati cinta-Mu
Cinta yang tak pernah pupus oleh waktu
 
Allahu Rabbi
Pintaku terakhir adalah seandainya kujatuh hati
Jangan pernah Kau palingkan wajah-Mu dariku
Anugerahkanlah aku cinta-Mu…
Cinta haqiqi yang tiada berbelah bahagi
Cinta yang bisa membuka mata hati!
 
Amiin! Perkenankanlah wahai Pemilik segala cinta!

SATIRA KL SENTRAL

Satu kisah dari KL Sentral..
 
Dari pelusuk Kafe Syidah
Sambil menjamah rezeki juadah
Memerhati gerak warga Kuala Lumpur
Masing-masing sibuk dengan ehwalnya
Ragam-ragam manusia meniti mata
Menggelorai rasa mencetus idea
Lalu kugubah jadi puisi satira
 
Dari kejauhan..
Si remaja berpegang tangan bergurau-senda
Seakan sudah bergelar suami isteri
Sesekali si jantan merangkul pinggang
Si betina merelakan tiada melarang
Masing-masing ria penuh gumbira
Hilai tawa tanpa fikir dosa pahala!
 
Di sudut lain..
Anak-anak muda dengan trend terkini
Ada yang bersubang telinga kanan dan kiri
Berbaju hitam dengan ilustrasi sukar dimengerti
Berseluar jeans lusuh dan sendat di buku lali
Ada yang berambut panjang dengan pewarna warna-warni
Penuh ceria tapi entah apa yang dicari!
 
Lalu mata singgah pada seorang veteran
Rasanya umur sudah menjangkau 40-an
Tapi masya Allah gaya tidak terkalahkan
Baju seksis nampak dada mengghairahkan
Skirt pendek nampak paha menggiurkan
Emas berlian intan perak sudah tentu digayakan
Sungguh bangga tapi entah apa yang nak dibuktikan!
 
Cukuplah di sini dulu puisi ini
Kalau ikutkan cacamarba manusiawi
Yang hidup di zaman penuh edan kini
Diransang diganasi fitnah sana-sini
Maksiat dan noda dosa serba-serbi
Jua jahiliyyah moden menyinga tiada henti
Pasti tiada kan terhenti pena menulis menangisi
 
Sebelum mengakhiri kalam bingkisan hati
Kuperingatkan diri dan insan berjiwa daei
Yang masih suci akhlak dan peribadi nurani
Dan siapa saja yang masih waras fikrah aqli
Jua masih subur dan segar rasa insafi
Ayuh bersama hayati kata ini:
‘Ledakkanlah taqwa dalam mengenal diri
Lonjakkanlah ilmu dalam pencarian haqiqi!’
 
MUHTAR SUHAILI
KL Sentral
7 Februari 2006, 5.57pm.

INILAH KEHIDUPAN..

Inilah kehidupan..
Manifestasi dari sebuah kelahiran
Yang menuntut janji penyaksian
Bahawa Allah Azza wa Jalla sebagai Tuhan
Ilah dan Rabb tiada tandingan
 
Inilah kehidupan..
Animasi sebuah pentas drama
Lakonan hebat barisan ‘hero’ dan ‘heroin’
Dengan diri sebagai bintang dan pelakon utamanya
Bersutradarakan hati dan aqal pancaindera
 
Inilah kehidupan..
Simulasi sebuah teater kemanusiaan
Diiringi alunan muzik pengharapan
Sesekali diselingi serunai syahdu pengaduan
Pada maghfirah dan rindu kebahagiaan
 
Inilah kehidupan..
Aspirasi sebuah filem cinta dan nafsu
Berjurikan catatan Kiraman Katibin
Waktu tayangannya di pawagam Mahsyar
Pada hari pertontonan yang maha dahsyat
 
Sesudah kehidupan..
Kematian pasti menjemput tiba
Adakah filem kita akan menjadi ‘box office’?
Akan mendapat sambutankah pementasan teater kita?
Dan akan diterimakah skrip drama kita olehNya?
 
Justeru beringatlah..
Jadilah ‘actor’ dan ‘actress’ terbaik
Yang akan meraih ‘award’ Ashabul Yamin
Dijulang sebagai Al-Muqarrabin di layar Akhirat
Dan beroleh anugerah redha dan syurga Allah!
 
MUHTAR SUHAILI
Rawang, Selangor
30 Disember 2005, 4.40pm.

ANDAI NANTI…

Andai nanti
Ada riang tawa di wajahmu
Kerana tercapai citamu
Lonjakkanlah jiwamu dalam perjuangan
Usah mudah berpuas hatimu
Teruskan ikhtiarmu
 
Andai nanti
Ada riak duka di wajahmu
Kerana tak tercapai hajatmu
Kuatkanlah jiwamu dalam perjuangan
Jangan kau hentikan jihadmu
Gandakan usahamu
 
Andai nanti
Ada air matamu kan gugur
Kerana bahagia
Senangkan hatimu dalam perjuangan
Usah kau matikan
Inspirasi nan menyala
 
Andai nanti
Ada air matamu kan gugur
Kerana kecewa
Tetapkan hatimu dalam perjuangan
Jangan kau padamkan
Semangat nan membara
 
Biar alam ini sedar
Kau adalah anak juang
Seorang perwira
Di sini kau berdiri
Di sana kejayaan menanti.
 
MUHTAR SUHAILI
Baiti Jannati, Rawang
13 November 2005, 1.01pm.

« Kiriman-Kiriman Berikutnya - Kiriman-Kiriman Sebelumnya »